NEW YORK: Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Danny Danon, memberi amaran yang dikatakan terakhir kepada kumpulan Houthi di Yemen agar berhenti melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Israel.
Danon mendakwa kononnya kumpulan pejuang disokong Iran itu berisiko mengalami ‘nasib malang’ sama seperti Hamas, Hizbullah dan Bashar al-Assad yang digulingkan sekiranya terus berdegil.
Selain itu, Danon turut memberi amaran kepada Tehran dengan mendakwa Israel berupaya menyerang sebarang sasaran di Asia Barat, termasuk di Iran.
Katanya, Israel tidak akan bertolak ansur terhadap serangan daripada proksi Iran.
Bagaimanapun beberapa jam kemudian, tentera Israel mengumumkan pihaknya telah memintas sebuah peluru berpandu yang dilancarkan dari Yemen sehingga menyebabkan siren amaran bergema di seluruh Israel.
Serangan Houthi itu menyasarkan Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv dan sebuah stesen jana kuasa di selatan Baitulmaqdis dengan menggunakan peluru berpandu hipersonik serta peluru berpandu balistik Zulfiqar.
Tindakan itu juga diakui jurucakap tentera kumpulan pejuang berkenaan, Yahya Saree.
Sejurus pengumuman Israel memintas peluru berpandu itu, ketua jawatankuasa revolusi tertinggi Houthi, Mohamed Ali al-Houthi menegaskan kumpulan pejuang terbabit tidak akan berhenti menyerang Israel dan akan terus memberi sokongan kepada Gaza.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.