Tumpuan :
Dunia

Hospital terbesar di utara Gaza dibakar tentera Israel

Api kelihatan marak melalui tingkap Hospital Kamal Adwan ketika operasi tentera Israel berterusan di utara Strip. – FOTO REUTERS

GAZA: Tentera Israel membakar Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia di utara Gaza, hospital terbesar di kawasan itu yang memberi perkhidmatan kepada lebih 400,000 penduduk, pada Jumaat.

Wartawan Agensi Berita Palestin (WAFA) mengesahkan tentera Israel secara paksa memindahkan pesakit, orang yang cedera, kakitangan perubatan dan wartawan dari hospital itu, sambil melancarkan serangan peluru berpandu dan menembak dengan peluru hidup ke arah fasiliti itu.

Hospital terbabit satu-satunya kemudahan perubatan yang beroperasi di utara Gaza dan menyediakan perkhidmatan perubatan kritikal kepada komuniti sebelum ia dibakar.

Kebakaran itu memusnahkan jabatan utama, termasuk bilik bedah, makmal, unit kecemasan dan perkhidmatan ambulans.

Komunikasi dengan individu yang berada di dalam hospital terputus sepenuhnya selepas pasukan Israel mengepung bangunan itu.

Laporan menunjukkan tentera Israel mengarahkan kira-kira 350 orang di dalam hospital, termasuk 170 kakitangan perubatan, berkumpul di halaman hospital sebagai persediaan untuk serangan tentera.

Tentera Israel memaksa kakitangan perubatan serta pesakit dan penjaga mereka menanggalkan pakaian masing-masing dalam suasana kesejukan melampau, sebelum membawa mereka ke lokasi tidak diketahui di luar hospital. – BERNAMA-WAFA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini