MOSCOW: Russia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menuntut diadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan serangan maut ke atas Hospital Al-Ahli, Gaza yang menyebabkan sekurang-kurangnya 500 terbunuh.
Hospital itu berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk ribuan penduduk yang meninggalkan kediaman di utara Gaza.
“Russia dan UAE menggesa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB diadakan berhubung insiden ke atas hospital Gaza,” kata Duta Russia ke PBB, Dmitry Polyanski, menerusi Telegram.
Isnin lalu, Majlis Keselamatan menolak resolusi Russia yang mengutuk keganasan di Asia Barat kerana perwakilan enggan menyokong usul yang tidak mengkhususkan Hamas untuk serangan mengejut ke atas Israel.
Majlis itu sebaliknya merancang untuk mengundi teks kedua, yang dicadangkan Brazil.
Undian itu pada asalnya dirancang diadakan petang semalam tetapi kemudian ditangguhkan pada hari ini sekitar 1400 GMT.