comscore
Tumpuan :
Dunia

Hizbullah ‘hujani’ Israel dengan 200 roket, dron

Serangan roket dan dron dari Lubnan dekat dengan sempadan utara Israel, ditembak jatuh oleh tentera Israel. – FOTO: Reuters

BEIRUT: Kumpulan Hizbullah di Lubnan melancarkan lebih 200 roket dan dron ke arah tentera Israel sejak Khamis, meningkatkan ketegangan antara kedua-dua musuh ketika perang Israel-Palestin berterusan di Gaza.

Serangan roket dan dron membawa letupan itu menyasarkan kedudukan tentera di utara Israel dan Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel, bagi membalas dendam terhadap serangan Israel yang membunuh komander kumpulan itu, Muhammad Nimah Nasser.

Siren serbuan udara berbunyi di seluruh utara Israel pada waktu pagi dan seorang wartawan AFP menyaksikan roket melintasi sempadan tetapi kebanyakannya dipintas pertahanan udara Israel, namun ia sempat mencetuskan kebakaran hutan.

Sumber tentera berkata, seorang anggota tentera terbunuh akibat tembakan roket ke utara Israel.

Agensi pertahanan awam Gaza pula berkata tujuh terbunuh dalam serangan Israel pada Khamis, termasuk lima di sebuah sekolah di Bandar Gaza, di utara wilayah yang dikepung.

Pertempuran meletus di kejiranan Shujaiya di bandar itu dan di Rafah, di sempadan selatan Mesir, di mana perintah pemindahan Israel menimbulkan kebimbangan serangan baharu yang besarakan dilancarkan.

Sejak perintah itu dikeluarkan pada Isnin, puluhan ribu rakyat Palestin melarikan diri dari kawasan timur Rafah dan Khan Younis yang berdekatan.

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran hutan selepas selepas Hizbullah di Lubnan berkata ia melancarkan lebih 200 roket dan dron menyasrkan tapak tentera Israel, berhampiran sempadan antara Israel dan Lubnan. – FOTO: Reuters

Hospital Nasser, yang terakhir masih berfungsi di Khan Younis di selatan Gaza dan Hospital Medan Kuwait berhampiran Rafah akan menghentikan operasi dalam tempoh beberapa jam selepas penjana kuasa kehabisan bahan api, kata sumber perubatan.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) pula berkongsi video mereka menyelamatkan dan membawa mangsa yang cedera ke hospital berikutan serangan udara Israel di timur kem pelarian Jabalia di utara Gaza.

Serangan itu, yang mengorbankan seorang dan mencederakan tiga, termasuk seorang kanak-kanak, berlaku ketika pegawai kesihatan di Gaza melaporkan bahawa berpuluh-puluh rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel sejak 24 jam lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, 1.9 juta orang kehilangan tempat tinggal di Gaza dan kira-kira sembilan dalam setiap 10 orang di wilayah itu melarikan diri dari rumah mereka sekurang-kurangnya sekali sejak perang meletus.

Menurut agensi itu lagi, sehingga 250,000 orang terjejas akibat arahan terbaharu Israel untuk mengosongkan 117 kilometer persegi – bersamaan dengan satu pertiga daripada wilayah Gaza, sebelum memulakan operasi pengeboman.

Sekurang-kurangnya 38,011 orang terbunuh dan 87,445 cedera dalam perang Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu manakala angka kematian di Israel akibat serangan Hamas dianggarkan 1,139 mangsa, dengan puluhan tebusan masih ditawan di Gaza. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini