
BEIRUT: Kumpulan pejuang Hizbullah menggesa Israel untuk berundur dari wilayah di Lubnan, sejajar dengan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai.
Ketua Hizbullah, Naim Kassem menetapkan Selasa (esok) sebagai tarikh akhir bagi pengunduran penuh rejim Zionis di Lubnan.
Ketegangan semakin meningkat selepas Israel mengumumkan rancangan untuk mengekalkan kehadiran tenteranya di lima lokasi di selatan Lubnan sehingga hujung bulan ini.
Menurut sumber tentera, Israel telah memaklumkan kepada jawatankuasa pemantau gencatan senjata bahawa mereka akan terus bertahan di kawasan yang sebelum ini menjadi kubu kuat Hizbullah.
Langkah itu menimbulkan kemarahan kerajaan Lubnan, yang menolak sebarang lanjutan tempoh pengunduran.
“Itu bukan pengunduran, tetapi sekadar taktik berselindung yang membuktikan Israel tidak berniat menamatkan perang ini,” kata Bahaa Halal, bekas brigedier jeneral tentera Lubnan.
Sementara itu, keputusan Israel untuk terus bertahan di selatan Lubnan turut menjejaskan ribuan penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka sejak konflik meletus.
Lubnan bertegas bahawa pengunduran Israel mesti dilakukan sepenuhnya dan tanpa sebarang syarat.
Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri, menegaskan bahawa sebarang perbincangan mengenai lanjutan tempoh pengunduran adalah tidak boleh diterima.
“Tanggungjawab untuk memastikan Israel berundur sepenuhnya terletak pada Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa. Lubnan tidak akan tunduk kepada sebarang syarat tambahan,” katanya.
Penganalisis politik percaya bahawa tekanan terhadap AS semakin meningkat untuk memastikan Israel mematuhi perjanjian gencatan senjata dan tidak terus memperpanjang kehadiran tenteranya di Lubnan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.