GAZA: Pihak berkuasa Palestin memberi amaran kemungkinan tercetusnya wabak penyakit dalam kalangan orang awam yang hilang tempat tinggal di Gaza ekoran kesesakan di pusat perlindungan.
Dalam satu kenyataan, Majlis Perbandaran Gaza menyatakan, penghijrahan besar-besaran orang awam dari utara Gaza ke bandar itu meningkatkan tekanan ke atas perkhidmatan air, sanitasi dan pengurusan sisa pepejal.
Keadaan ini memburukkan krisis kesihatan dan alam sekitar dihadapi bandar raya itu.
Puluhan ribu orang awam Palestin terpaksa meninggalkan kediaman di bahagian utara ke Bandar Gaza rentetan serangan darat berterusan rejim Israel.
Pemindahan secara paksa ini menyebabkan pengumpulan sisa yang belum pernah berlaku dan peningkatan ketara dalam permintaan air sekaligus menyukarkan situasi.
Justeru Majlis Perbandaran Gaza merayu masyarakat antarabangsa segera campur tangan dan menangani keperluan rakyatnya bagi mengelakkan kemerosotan kesihatan awam yang lebih teruk.
Operasi darat rejim Israel di utara Gaza dilihat tindakan rejim menakluki kawasan itu yang mendesak penduduknya berpindah.
Tidak cukup dengan itu, bantuan kemanusiaan termasuk makanan, ubat dan bahan api disekat rejim, menyebabkan penduduk kebuluran dan semakin susah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.