FAYOUM: Helmy Mahmoud, seorang petani berusia 72 tahun, dengan penuh komited menguruskan tanaman herba perubatannya di Gabenorat Fayoum, hab pertanian botani yang semakin berkembang di Mesir.
Di ladangnya seluas 50 ekar, aroma chamomile dan pudina menyelubungi udara, mencerminkan kesuburan tanah Fayoum yang terletak di selatan ibu kota Kaherah.
Fayoum kini berkembang menjadi pusat pengeluaran herba perubatan, dengan eksport merentasi benua. “Kami berkait rapat dengan tradisi kuno ini, yang kini membuka lembaran masa depan yang cerah,” kata Mahmoud kepada Xinhua sambil menyentuh lembut daun pudina dan chamomile.
Mahmoud, yang mewarisi profesion ini daripada nenek moyangnya, menanam pelbagai jenis herba seperti jintan manis, moringa, serai, pudina, wormwood dan adas manis.
Beliau menekankan keperluan khusus bagi penanaman herba perubatan dan aromatik, termasuk penjagaan rapi dan amalan pertanian organik.
Mahmoud turut menyoroti pasaran yang kukuh bagi herba perubatan dan aromatik, dengan ratusan syarikat aktif membeli, memproses dan menjual hasil tanaman ini di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Pulangan kewangan yang lumayan telah mendorong peningkatan ketara dalam penanaman herba di wilayah Fayoum, tambahnya.
Ramai petani beralih daripada tanaman tradisional seperti sayur-sayuran dan semanggi kepada herba aromatik yang lebih menguntungkan.
Peralihan itu sejajar dengan visi kebangsaan Mesir untuk pembangunan mampan. Strategi Pembangunan Pertanian Mampan 2030 yang dikemas kini, sebagai tonggak utama Wawasan Mesir 2030, merangkumi projek kebangsaan khusus untuk mengembangkan penanaman dan pengeluaran tumbuhan bernilai tinggi ini.
Kini 125,000 ekar tanah diperuntukkan untuk sektor yang sedang berkembang pesat ini. Namun, Mesir menyasarkan untuk menggandakan jumlah itu kepada 250,000 ekar menjelang 2030, menurut Majlis Eksport Pertanian Mesir (AEC), sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan.
Perkembangan ini akan didorong oleh projek pembangunan luar bandar, pelaburan sektor swasta dan perkongsian strategik dengan perniagaan.
Mesir kini mengeksport kira-kira 85 peratus daripada pengeluaran tumbuhan perubatan dan aromatiknya, menghasilkan hampir US$200 juta setiap tahun, menurut statistik AEC.
Herba dan rempah ratus Mesir kini menjangkau lebih 100 negara. Daripada daun kering dan bunga segar hingga minyak pati dan pes wangi, produk ini boleh didapati di rumah, farmasi dan kilang minyak wangi di seluruh dunia.
“Jintan, anise, adas, jintan manis, dan pudina adalah antara jenis yang paling mendapat permintaan,” kata Mohamed Shaaban, pengurus sebuah syarikat eksport herba perubatan yang berpangkalan di Fayoum.
“China adalah pasaran utama saya, terutamanya untuk eksport adas,” kata Shaaban kepada Xinhua sambil menambah bahawa beliau sedang berusaha mengembangkan kehadiran syarikatnya di China dengan memperkenalkan pelbagai lagi tumbuhan botani Mesir. Selain itu, Shaaban juga membangunkan saluran import untuk membawa herba perubatan dari China seperti kayu manis dan halia ke pasaran Mesir. – BERNAMA-XINHUA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.