TEHRAN: Sebuah helikopter dalam konvoi yang membawa Presiden Iran terlibat kemalangan, demikian lapor media milik negara Iran.
Menurut laporan itu, Presiden Ebrahim Raisi adalah salah seorang penumpang sebuah helikopter yang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan itu.
Menurut Menteri Dalam Negeri Iran, pasukan penyelamat masih berusaha pergi ke tapak kemalangan itu ekoran cuaca buruk.
Ketika kejadian, Presiden Raisi sedang dalam perjalanan menuju ke bandar Tabriz, barat laut Iran selepas pulang daripada merasmikan empangan Khodaafarin dan Qiz Qalasi di sempadan Azerbaijan.
Menurut agensi berita Fars, cuaca berkabus menyukarkan usaha mencari lokasi helikopter itu melakukan pendaratan kecemasan.
Laporan itu menyebut jarak penglihatan di kawasan berkenaan cuma sekitar lima meter.
Menurut ahli parlimen Tabriz, Ahmad Alirezabeigi pasukan penyelamat masih gagal menjumpai lokasi helikopter yang membawa presiden itu melakukan pendaratan kecemasan.
Menurut Ahmad, helikopter itu turut membawa Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian.
Tambahnya, dua buah lagi helikopter berjaya mendarat dengan selamat.
Sementara itu, siaran televisyen tempatan turut menyiarkan bacaan doa dari bandar suci Mashhad untuk kesejahteraan Presiden Raisi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.