PALESTIN: Sepertimana umat manusia lain di seluruh dunia, penduduk Gaza turut berkongsi harapan agar tahun baharu mereka menjadi lebih baik.
Rakyat Palestin yang dipindahkan di Deir Al-Balah, Gaza Tengah, berkongsi hasrat mereka setelah hati mereka berkecai dek serakah zionis.
Ketika Gaza terus dilanda peperangan, penduduk mengatakan harapan terbesar mereka untuk tahun baru adalah untuk melihat konflik ini berakhir dan dapat kembali ke rumah mereka.
Penduduk Gaza, Mohammed Masri berkata, dia berharap dapat melihat cahaya harapan untuk masa depan, untuk sekali lagi mengejar semua perkara yang baik dalam hidup, seperti pendidikan dan penyelidikan, dan untuk membebaskan diri daripada kemusnahan yang dibawa oleh perang.
Seorang kanak-kanak, Sarah Hassan, 11 tahun, turut berkongsi agar dapat mengadakan pesta hari jadi yang besar di rumah sempena hari lahirnya hari ini.
“Harapan saya untuk tahun baru adalah untuk kembali ke rumah saya, mengadakan pesta hari jadi, mengundang semua rakan dan keluarga, pergi ke taman, dan melakukan segala yang saya impikan”, katanya.
Nuha Nasser, salah seorang penduduk yang dipindahkan turut berharap untuk mempunyai rumah supaya dapat hidup dengan aman bersama anak-anaknya.
“Kami benar-benar keletihan. Kami hanya mahu menetap di rumah kami sendiri, bersatu semula dengan anak-anak kami, dan kembali ke zaman dulu ketika kami bersama”, ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.