LAGOS: 281 banduan melarikan diri dari sebuah penjara di bandar Maiduguri, Nigeria lapor agensi berita Jerman dpa.
Menurut Jurucakap Penjara, Umar Abubakar, banduan melarikan diri selepas dinding penjara runtuh akibat banjir teruk pada hari Ahad.
Antara banduan yang melarikan diri termasuk anggota militan.
Maiduguri adalah ibu negeri bagi negeri Borno, di mana Boko Haram telah melakukan serangan ke atas orang awam dan askar sejak tahun 2009.
Pada Selasa lalu, hujan lebat menyebabkan sebuah empangan pecah dan mengakibatkan banjir di sebahagian besar kawasan bandar itu.
Seluruh wilayah Sahel di utara Afrika, termasuk Nigeria, kini terjejas oleh banjir susulan hujan lebat.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekitar setengah juta orang di wilayah terbabit telah dipindahkan dan lebih daripada 300,000 rumah telah musnah akibat bencana itu. -BERNAMA-dpa
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.