LONDON: Hampir 200 pejuang alam sekitar dibunuh di seluruh dunia pada 2023, lapor Agensi Berita Jerman (dpa), memetik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Global Witness pada Selasa.
NGO itu dalam pembentangan laporan tahunannya berkata negara paling berbahaya bagi aktivis alam sekitar ialah Colombia diikuti oleh Brazil, Mexico dan Honduras.
Menurut laporan itu, 85 peratus daripada pembunuhan itu direkodkan di Amerika Latin.
“Ketika krisis iklim semakin memuncak, mereka yang berani bersuara mempertahankan bumi kita berdepan keganasan, intimidasi dan pembunuhan.
“Data kami menunjukkan bahawa jumlah pembunuhan kekal tinggi dan amat membimbangkan, satu situasi yang tidak boleh diterima,” kata penulis laporan Laura Furones.
Menurut laporan itu, aktivis yang memperjuangkan isu perlombongan, perikanan, pembalakan, perniagaan tani, pembinaan jalan raya dan infrastruktur serta loji kuasa hidro menghadapi risiko besar.
Kebanyakan jenayah itu bagaimanapun tidak dikenakan hukuman. — BERNAMA-dpa
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.