comscore
Tumpuan :
Dunia

Hampir 100,000 pelancong Malaysia belanja 1 bilion Baht cuti di selatan Thailand

FOTO: Ihsan Imigresen ICQS Bukit Kayu Hitam/ Facebook

SONGKHLA: Hampir 100,000 pelancong Malaysia memanfaatkan cuti panjang hujung minggu sempena sambutan Hari Malaysia untuk bercuti di wilayah selatan Thailand, menyumbang lebih 1 bilion Baht (RM129 juta) kepada ekonomi tempatan.

Presiden Persatuan Hotel Hat Yai Songkhla, Sittipong Sitthipatprapha, berkata lebih 36,000 pelancong Malaysia memasuki wilayah Songkhla melalui tiga pintu masuk utama iaitu Sadao, Dan Prakob dan Padang Besar pada 14 September lalu, dengan kesesakan dilaporkan bermula seawal 5 pagi hingga 11 malam, terutama di kawasan Hat Yai.

“Tinjauan pihak berkuasa di wilayah selatan Thailand menunjukkan bahawa sepanjang cuti panjang ini; Jumaat, Sabtu, Ahad dan Isnin, lebih 100,000 pelancong dari Malaysia mengunjungi selatan Thailand terutama Hat Yai, Songkhla serta wilayah berdekatan seperti Phatthalung, Trang dan Krabi,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau juga memaklumkan bahawa lebih 400 hotel dengan lebih 30,000 bilik telah ditempah penuh sepanjang cuti ini, dengan anggaran pendapatan lebih 1 bilion Baht.

Sementara itu, Roosfa Hashim, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berasal dari Bandar Baru Bangi, berkata beliau telah mengunjungi selatan Thailand sejak 30 tahun lalu ketika melakukan kajian untuk Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Roosfa yang ditemui di Pattani menambah, destinasi popular bagi pelancong Malaysia termasuk Hat Yai, Krabi dan Phuket kerana jaraknya yang dekat serta adanya kemudahan pengangkutan awam yang cekap dan baik melalui jalan darat mahupun udara.

Guru, Ramlah Abdul Rashid, dari Sabah pula berkongsi pengalamannya yang suka berkunjung ke Pattani kerana terdapat banyak makanan halal yang enak dan murah.

Beliau juga menyatakan bahawa di Pattani, terdapat pelbagai jenis makanan tradisional, termasuk kuih-muih seperti kuih tepung bongkol dan Cek Mek Molek yang lembut dan enak. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini