comscore
Tumpuan :
Dunia

Hampir 100 terbunuh akibat letupan lori tangki di Nigeria

KANO: Hampir 100 orang maut dan 50 cedera akibat letupan lori tangki bahan api di utara Nigeria, kata polis hari ini.

Kebanyakan mangsa itu dikatakan cuba mengutip bahan api yang tertumpah di jalan raya selepas lori tangki itu mengalami kemalangan di utara negeri Jigawa lewat semalam, kata jurucakap polis, Lawan Shiisu Adam.

Katanya, lori tangki itu terbabas selepas melencongkan laluannya bagi mengelak daripada bertembung dengan lori dalam kejadian di bandar Majia.

“Setakat ini kami mengesahkan 94 orang maut dan kira-kira lagi 50 cedera,” katanya yang khuatir angka kematian mungkin meningkat.

Menurut Adam, penduduk menyerbu di sekeliling kenderaan itu untuk mengutip minyak yang tertumpah di jalan raya dan di dalam longkang.
Beliau berkata, penduduk tidak menghiraukan pegawai yang cuba menghalang mereka.

Sementara itu, Persatuan Perubatan Nigeria menggesa doktor untuk bergegas ke unit kecemasan untuk membantu menangani kemasukan pesakit yang ramai.

Letupan lori tangki bahan api adalah perkara biasa di negara paling ramai penduduk di Afrika, di mana jalan raya tidak diselenggara dengan baik dan penduduk sering menghampiri kenderaan yang kemalangan bagi menyedut sisa bahan api yang tertumpah.

Bahan api menjadi komoditi berharga apabila Nigeria mengalami krisis ekonomi terburuk dalam satu generasi.

Harga petrol melonjak lima kali ganda sejak Presiden Bola Ahmed Tinubu membatalkan subsidi tahun lalu dan sering berlaku gangguan bekalan.

Keadaan terdesak diburukkan lagi sejak minggu lalu selepas syarikat minyak negeri itu menaikkan harga buat kali kedua dalam tempoh lebih sebulan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini