comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] Hamas tarik diri daripada rundingan gencatan senjata 


PALESTIN: Kumpulan pejuang Palestin, Hamas menarik diri daripada rundingan gencatan senjata di Gaza, sehari selepas serangan udara tentera Israel disasarkan ke atas Komander Mohammed Deif yang mengorbankan sekurang-kurangnya 92 orang.

Serangan ke atas kem Al-Mawasi itu turut mencederakan 300 orang terdiri wanita dan kanak-kanak.

Hamas menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu cuba menggagalkan usaha pengantara Arab dan Amerika Syarikat (AS) untuk mencapai perjanjian gencatan senjata dengan menyerang Al-Mawasi di selatan Gaza.

Mei lalu, Al-Mawasi, berhampiran bandar Khan Younis dan Rafah, diisytiharkan sebagai zon selamat oleh tentera Israel, yang menyuruh orang awam berpindah ke sana.

Bagaimanapun, tentera Israel masih melancarkan beberapa serangan ke kawasan berkenaan yang mengorbankan nyawa rakyat Palestin.

Semalam, tentera Israel turut menyerang sebuah sekolah yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di kem pelarian Nuseirat yang didakwa tentera sebagai tempat persembunyian pejuang Hamas.

Agensi pertahanan awam di Gaza berkata, seramai 15 orang terbunuh dalam serangan itu.

Ia adalah serangan kelima dalam tempoh lebih seminggu ke atas sebuah sekolah yang digunakan sebagai tempat perlindungan oleh penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

Sementara itu, pegawai kedua Hamas berkata, Deif yang juga komander tentera kumpulan itu berada dalam keadaan baik dan menyelia operasi secara terus walaupun berlaku cubaan membunuh ke atasnya.

“Komander Mohammed Deif berada dalam keadaan baik dan masih mengawasi operasi sayap tentera Hamas,” kata pegawai itu.

Memetik Ketua Politik Hamas yang berpangkalan di Qatar, Ismail Haniyeh, keputusan menghentikan rundingan adalah disebabkan tindakan Israel yang kurang serius, dasar penangguhan dan halangan berterusan serta pembunuhan beramai-ramai secara berterusan terhadap orang awam yang tidak bersenjata.

Haniyeh memberitahu pengantara antarabangsa bahawa Hamas bersedia untuk menyambung semula rundingan apabila kerajaan Israel menunjukkan kesungguhan dalam mencapai perjanjian gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan.

Rundingan selama berbulan-bulan yang diusahakan Qatar dan Mesir dengan sokongan AS gagal untuk menghentikan peperangan.

Puluhan ribu penunjuk perasaan Israel menuntut kerajaan mencapai kesepakatan untuk membebaskan tawanan.-AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini