GAZA/RAMALLAH: Kumpulan Hamas menyeru rakyat Palestin supaya terus bangkit untuk memprotes serangan Israel ke atas Gaza, sekali gus menggesa mereka mara ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur dan berjuang habis-habisan menentang tentera rejim Zionis di Tebing Barat yang diduduki.
Dalam satu kenyataan menyeru ‘mobilisasi awam’, Hamas menggesa rakyat Palestin untuk mengadakan bantahan di perkarangan Masjid Al-Aqsa dan bertahan di kawasan itu, sepanjang hari ini ketika umat Islam turut menunaikan solat Jumaat.
Hamas juga meminta rakyat Palestin di Tebing Barat untuk ‘berdemonstrasi, bergerak dan bertempur’ dengan tentera rejim Zionis serta pendatang Israel.
Tentera Israel yang turut berdepan tentangan pejuang di sempadan utara di Syria dan Lubnan, belum memberikan komen berkaitan, setakat ini.
Pertempuran di perkarangan Masjid Al-Aqsa mencetuskan perang Israel-Gaza selama 11 hari pada Mei 2021.
Rejim Zionis membedil Gaza bertalu-talu dengan serangan udara serta tembakan artileri susulan Hamas bertindak balas melancarkan serangan mengejut minggu lalu yang meragut sekurang-kurang 1,300 nyawa pihak Israel, manakala lebih 1,500 rakyat Palestin pula terkorban, setakat ini.
Keganasan di Gaza turut mencetuskan semula ketegangan di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat di mana tentera Israel membunuh sekurang-kurang 34 rakyat Palestin dalam pertempuran sejak Sabtu minggu lalu, menurut pegawai Palestin. – REUTERS