GAZA: Pergerakan Pejuang Palestin, hamas, dijangka membebaskan empat tentera wanita Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata.
Keempat-empat tentera wanita terbabit bertugas di sebuah pos pemerhatian di pinggir Gaza sebelum dijadikan tawanan pejuang Hamas dalam serangan ke atas pangkalan mereka pada 7 Oktober 2023.
Pejabat media Hamas memaklumkan 200 tahanan Palestin akan dibebaskan, termasuk 120 yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 80 lagi dengan hukuman panjang.
Pertukaran itu merupakan kali kedua sejak gencatan senjata bermula pada Ahad lalu.
Dalam pertukaran pertama, Hamas membebaskan tiga orang awam Israel sebagai tukaran dengan 90 tawanan Palestin.
Jumaat lalu, Hamas telah mengenal pasti empat tebusan yang akan dibebaskan dalam pertukaran kedua, namun Israel belum memberikan kenyataan rasmi dan mungkin hanya berbuat demikian selepas menerima tawanan kembali.
Fasa seterusnya akan melibatkan rundingan mengenai pertukaran baki tawanan, serta penarikan sepenuhnya tentera Israel dari Gaza.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.