Tumpuan :
Dunia

Hamas dan Fatah bincang isu perang Gaza, atur gerak ke arah konsensus nasional

FOTO: Reuters

DOHA: Hamas semalam memaklumkan bahawa pihaknya telah mengadakan rundingan di Kaherah dengan kumpulan saingan mereka di Palestin, Fatah, bagi membincangkan isu peperangan di Gaza dan mengatur gerak ke arah konsensus nasional.

“Satu mesyuarat diadakan bersama saudara pejuang-pejuang dalam gerakan Fatah atas jemputan Mesir yang bermurah hati.

“Mereka membincangkan pelbagai isu nasional, terutama peperangan di Gaza dan laluan untuk tindakan kebangsaan,” kata pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan, dalam satu pesanan video.

Kedua-dua kumpulan pejuang itu pernah saling berperang dalam pertempuran berdarah yang singkat pada 2007 di mana Hamas berjaya menguasai Gaza.

Fatah pula terus mendominasi Pihak Berkuasa Palestin yang memiliki kuasa pentadbiran terhad ke atas kawasan-kawasan bandar di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Menjelaskan lanjut, Hamdan berkata, antara idea utama dibincangkan pada pertemuan itu ialah pembentukan sebuah badan berkait hal ehwal Gaza dan keperluannya dalam pelbagai isu sehinggalah syarat digariskan bagi pembentukan kerajaan konsensus nasional.

Malah, beliau memaklumkan, rundingan itu berlangsung secara positif.

“Kepimpinan Hamas akan terus menghubungi dan mengadakan mesyuarat dengan saudara pejuang-pejuang kita dalam Fatah,” katanya.

Bulan lalu, Hamas dilaporkan berkata, pihaknya sudah memulakan pertemuan dengan Fatah di ibu negara Mesir selepas perjanjian dicapai di Beijing pada Julai lalu antara Hamas dengan kumpulan Palestin yang lain untuk bekerjasama ke arah perpaduan nasional.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini