Tumpuan :
Dunia

Hamas bebaskan 4 tentera wanita Israel

FOTO: REUTERS

GAZA CITY: Pejuang Hamas terus menepati janji dengan terbaharu membebaskan empat tentera wanita Israel yang ditahan sejak 7 Oktober 2023.

Ia adalah pertukaran kedua di bawah perjanjian gencatan senjata yang menghentikan perang di Gaza.

Terdahulu Israel mengesahkan menerima senarai nama tahanan terbabit.

Mereka adalah Karina Ariev, Daniella Gilboa, Naama Levy, dan Liri Albag.

Keempat-empat mereka ditawan di Pangkalan Tentera Nahal Oz, hanya satu kilometer dari sempadan Gaza.

Israel pula dijangka membebaskan sekumpulan tahanan Palestin, namun belum mengumumkan jumlah sebenar yang akan dibebaskan.

Menurut perkhidmatan penjara Israel, sebahagian tahanan akan dibebaskan ke Gaza, manakala selebihnya ke Tebing Barat yang diduduki.

Pertukaran itu adalah sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas dalam perang Gaza yang berkuat kuasa sejak Ahad lalu.

Tiga wanita tebusan dan 90 tahanan Palestin telah dibebaskan.

Gencatan senjata yang rapuh ini bertujuan membuka laluan ke arah pengakhiran kekal perang di Gaza.

Dalam fasa pertama selama 42 hari, 33 tebusan yang Israel percaya masih hidup dijangka dibebaskan sebagai pertukaran dengan kira-kira 1,900 tahanan Palestin di penjara Israel.

Fasa berikutnya akan melibatkan rundingan untuk mengakhiri perang secara kekal, manakala fasa terakhir akan menyaksikan pembinaan semula Gaza dan pemulangan jenazah tebusan yang telah meninggal dunia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini