
THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) melantik Yuji Iwasawa sebagai Presiden baharunya, menggantikan Nawaf Salam, yang kini menjadi Perdana Menteri Lebanon.
Menurut kenyataan ICJ, hakim berusia 70 tahun itu akan mengetuai mahkamah yang berpangkalan di The Hague – yang menangani pertikaian antara negara – sehingga tempoh Salam sepatutnya tamat pada 5 Februari 2027.
Mahkamah kini sedang meneliti kes yang dibawa oleh Afrika Selatan, yang menuduh Israel melakukan genosid dalam perang di Gaza.
Pada Julai lalu, ICJ memutuskan bahawa pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin sejak perang Timur Tengah 1967 serta penempatan haramnya di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur adalah menyalahi undang-undang dan Israel mesti berundur dengan segera.
Iwasawa telah menjadi anggota ICJ sejak Jun 2018. Sebelum menyertai mahkamah itu, beliau merupakan profesor undang-undang antarabangsa di Universiti Tokyo dan pernah menjadi pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.