WASHINGTON: Seorang hakim semalam membenarkan permohonan pihak pendakwa raya untuk membatalkan kes berkait isu pilihan raya yang dihadapi Donald Trump, berikutan dasar Jabatan Kehakiman untuk tidak mendakwa seseorang Presiden AS dalam perkhidmatan.
Hakim Tanya Chutkan bersetuju dengan permintaan Peguam Khas, Jack Smith untuk membatalkan kes terhadap Presiden dipilih itu ‘tanpa prejudis’, bermakna ia berpotensi dikembalikan selepas Trump meninggalkan Rumah Putih empat tahun dari sekarang.
“Pembatalan tanpa prejudis ini adalah wajar,” kata Chutkan dalam keputusannya sambil menjelaskan ‘kekebalan yang diberikan kepada seseorang Presiden dalam perkhidmatan adalah sementara dan ia akan tamat apabila mereka tidak lagi memegang jawatan berkenaan.
Trump, 78, dituduh terbabit konspirasi untuk mengubah keputusan Pilihan Raya Presiden 2020 di mana beliau tewas kepada Joe Biden dan membawa keluar sejumlah besar dokumen penting yang sulit selepas meninggalkan Rumah Putih, namun kes berkenaan tidak pernah dibicarakan.
Semalam, Smith turut menarik balik rayuannya terhadap keputusan mahkamah sebelum ini yang menolak kes berkait isu dokumen yang difailkan ke atas Trump di Florida. Kes berkenaan ditolak pada awal tahun ini oleh hakim lantikan Trump sebelum ini, atas alasan pelantikan Smith adalah tidak sah.
Terdahulu, Smith menangguhkan sementara kedua-dua kes berkait isu pilihan raya dan dokumen sulit itu selepas Trump mengalahkan Kamala Harris pada Pilihan Raya Presiden AS 2024, 5 November lalu.
Smith memetik dasar yang sekian lama diamalkan Jabatan Kehakiman untuk tidak mendakwa seseorang Presiden dalam perkhidmatan, sebagai alasan bagi permohonannya supaya kes berkenaan dibatalkan.
“Pendirian kerajaan berhubung merit pendakwaan defendan, tidak berubah. Namun, keadaan telah berubah.
“Ia sudah menjadi pendirian Jabatan Kehakiman sejak sekian lama bahawa Perlembagaan AS melarang pendakwaan persekutuan dan pertuduhan jenayah terhadap seorang Presiden dalam perkhidmatan.
“Sehubungan itu, pendakwaan ini mesti dibatalkan sebelum defendan dilantik secara rasmi (sebagai Presiden AS),” kata Smith dalam permohonan yang difailkan.
Sementara itu dalam satu pemfailan berasingan, Smith berkata, beliau menarik balik rayuannya ke atas keputusan mahkamah sebelum ini yang menolak kes berkait dokumen sulit dihadapi Trump, namun meneruskan kes terhadap dua defendan bersamanya, iaitu Walt Nauta dan Carlos De Oliveira. -AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.