WISCONSIN: Tiga individu maut, termasuk seorang guru dan pelajar dalam insiden tembakan di sebuah sekolah swasta di Wisconsin pada Isnin.
Enam lagi mangsa dilaporkan cedera, menurut pihak polis tempatan.
Menurut media antarabangsa, penembak berusia 17 tahun itu adalah seorang pelajar perempuan di Abundant Life Christian School di Madison, ibu negeri Wisconsin.
Polis pada awalnya memaklumkan lima kematian dalam insiden berkenaan sebelum mengemas kini jumlah korban.
Laporan menyebut penembak terbabit menembak mati seorang guru dan seorang pelajar remaja lain menggunakan pistol 9mm.
Ketua Polis Madison, Shon Barnes mengesahkan kejadian itu.
Barnes berkata anggota polis yang bertindak di lokasi tidak melepaskan tembakan, dan penembak dipercayai mati akibat membunuh diri.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan pihak Rumah Putih menyatakan sokongan kepada pihak berkuasa tempatan.
Dalam satu kenyataan, Biden menyifatkan insiden tersebut sebagai “mengejutkan dan tidak dapat diterima,”
Beliau menggesa Kongres meluluskan undang-undang kawalan senjata api yang lebih ketat.
“Kita tidak boleh menerima ini sebagai norma. Setiap kanak-kanak berhak merasa selamat di dalam bilik darjah. Pelajar seharusnya belajar membaca dan menulis, bukan belajar untuk berlindung daripada serangan,” katanya.
Sekolah Abundant Life menempatkan kira-kira 390 pelajar dari tadika hingga sekolah menengah di kawasan seluas 28 ekar. Sekolah itu melibatkan kira-kira 200 keluarga dari kawasan Dane County.
Insiden itu sekaligus menambah jumlah kes tembakan rambang di Amerika Syarikat, yang mencatatkan hampir 490 kes tahun ini, menurut Gun Violence Archive.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.