JAKARTA: Gunung Semeru di daerah Malang dan Lumajang di wilayah Jawa Timur meletus pada 7.30 pagi Selasa (waktu tempatan) dan memuntahkan abu sejauh kira-kira satu kilometer ke udara dari atas kawah, lapor Agensi Berita ANTARA.
Pegawai di pos pemantauan Gunung Semeru Ghufron Alwi berkata gunung berapi tertinggi di Pulau Jawa itu memuntahkan abu menghala ke timur laut.
“Letusan itu dirakam menggunakan seismograf dengan amplitud maksimum 23 milimeter selama 120 saat,” katanya memetik laporan yang diterima pada Selasa.
Sementara itu, Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bencana Geologi (PVMBG) menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti di kawasan berdekatan dan tidak berada dalam radius lima kilometer dari gunung berkenaan.
Orang ramai juga perlu waspada terhadap kemungkinan aliran lava di sepanjang sungai atau lembah, terutama di sekitar Besuk Kobokan, Besuk Bang, Besuk Kembar dan Besuk Sat.
Gunung Semeru dipantau secara visual dan menggunakan peralatan dari dua pos pemantauan gunung berapi di Desa Sumber Wuluh, Kecamatan Candipuro, Kabupaten Lumajang, dan di Desa Argosuko, Kecamatan Ampelgading, Kabupaten Malang.
Tahap aktiviti Gunung Semeru kini berada pada Tahap III atau Tahap Amaran sejak 16 Disember 2021. – BERNAMA-ANTARA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.