Tumpuan :
Dunia

Gunung Dukono meletus cetus amaran penerbangan

JAKARTA: Gunung Dukono, di wilayah Maluku Utara, timur Indonesia meletus hari ini, sekali gus mencetus amaran kepada operasi penerbangan.

Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi negara itu, letusan dilapor jam 9.43 pagi waktu tempatan, memuntahkan debu putih hingga kelabu tebal setinggi 4,600 meter ke udara.

Debu itu dikesan bergerak ke arah barat laut gunung berkenaan.

Susulan kejadian, pesawat dilarang terbang pada ketinggian di bawah lima kilometer di sekitar kawasan gunung berapi yang terletak di Pulau Halmahera.

Notis Jingga untuk status penerbangan dikeluarkan Balai Cerap Gunung Berapi.

Pendaki dan penduduk juga dilarang melakukan aktiviti dalam radius tiga kilometer dari kawah selain dinasihatkan sentiasa memakai pelitup muka.

Gunung Dukono setinggi 1,087 meter dari paras laut, salah sebuah daripada 127 gunung berapi aktif di Indonesia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini