OSLO: Gunung berapi meletus di Iceland selepas beberapa siri gegaran di barat daya negara itu, lewat malam tadi.
Letusan di Semenanjung Reykjanes, 40 kilometer dari ibu negara Reykjavik berlaku pada 10.17 malam waktu negara itu menurut Pejabat Meteorologi Iceland.
“Letusan bermula di Semenanjung Reykjanes. Ini boleh dilihat dalam kamera web dan berhampiran dengan Hagafell, sebuah bandar di selatan ibu negara.
“Helikopter Pengawal Pantai meninjau tempat itu dan saiz letusan,” katanya.
Lapangan terbang Keflavik masih dibuka, namun beberapa penerbangan mengalami kelewatan, baik berlepas mahupun tiba.
Iceland diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dengan letusan gunung berapi selepas gegaran yang aktif, bulan lalu.
Beribu-ribu gempa bumi kecil direkodkan di barat daya negara itu selepas magma beralih di bawah kerak bumi.
Kira-kira 4,000 penduduk Grindavik, sebuah pelabuhan nelayan kira-kira 40 kilometer dari ibu negara sudah dipindahkan pada 11 November lalu.
Iceland mempunyai 33 gunung berapi aktif, jumlah tertinggi di Eropah.
Semenanjung Reykjanes tidak mengalami letusan gunung berapi selama lapan abad sehingga 2021.
Sejak itu, tiga letusan melanda dan semuanya di kawasan terpencil yang tidak berpenghuni. – AGENSI