comscore
Tumpuan :
Dunia

Gunung Berapi Lewotobi Indonesia: 127 rakyat Malaysia telah tinggalkan Labuan Bajo

JAKARTA: Seramai 161 rakyat Malaysia telah melaporkan keberadaan mereka di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur sejak 10 Nov hingga Jumaat, menurut Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Daripada jumlah itu, 127 orang telah meninggalkan Labuan Bajo melalui pengangkutan laut atau pengangkutan udara selepas operasi penerbangan domestik di sambung semula pada Rabu.

“Dua orang telah tiba di Jakarta, 21 di Surabaya, 34 di Bali dan 20 di Lombok, untuk menyambung perjalanan pulang ke Malaysia atau ke destinasi lain,” kata kedutaan dalam kenyataan.Menurut kedutaan, seramai 50 orang memaklumkan bahawa mereka telah tiba di Malaysia.

Petugas kedutaan di Labuan Bajo kini sedang membantu 34 orang yang masih berada di sana, termasuk tiga orang yang baru melaporkan keberadaan mereka di mukim Larantuka.

Bagi nasihat serta bantuan konsular di Labuan Bajo, rakyat Malaysia yang terkandas boleh menghubungi talian +62 813 8081 3036 atau mengunjungi Bilik 811 di Hotel Laprima.

Untuk yang berada di Bali, mereka boleh menghubungi Drs. Panudiana Kuhn, Konsul Kehormat Malaysia di Bali di talian +623 6175 1953 atau e-mel: [email protected].

Kedutaan terus memantau situasi letusan Gunung Berapi Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur yang mengakibatkan penutupan sementara ruang udara dan operasi penerbangan dari 9 hingga 13 Nov, serta beberapa penerbangan lain termasuk di Bali dan Lombok pada Rabu.

Pihaknya menjelaskan penerbangan domestik di Labuan Bajo, serta penerbangan domestik dan antarabangsa di Bali dan Lombok dilaporkan kembali beroperasi pada Jumaat.

Pihak berkuasa Indonesia masih meletakkan tahap kewaspadaan Gunung Berapi Lewotobi Laki-Laki pada status tertinggi Peringkat IV.

“Warganegara Malaysia yang merancang untuk melawat atau melancong ke lokasi-lokasi yang berisiko terkesan adalah dinasihatkan mengikuti perkembangan terkini status gunung berapi itu dan merancang perjalanan sewajarnya,” tambah kedutaan.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini