comscore
Tumpuan :
Dunia

Greenpeace, negara selatan global kritik perjanjian COP29

FOTO: Reuters

BAKU: Greenpeace, pertubuhan iklim global, mengkritik perjanjian yang dicapai pada Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ahad, dengan menuduh perunding tunduk kepada kepentingan negara pengeluar minyak.

Agensi berita Jerman dpa melaporkan, ia disuarakan ketua delegasi Greenpeace, Jasper Inventor, dalam satu kenyataan mengenai perbincangan Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP29) di Baku, Azerbaijan

Menurutnya, orang ramai sudah muak dan hilang kepercayaan.

Beliau menyifatkan perjanjian dengan negara kaya menyediakan AS$300 bilion (RM1.3 trilion) kepada negara miskin untuk keperluan iklim mereka sebagai ‘sangat tidak mencukupi’.

Tambah beliau, pihaknya dan agensi lain akan menantikan COP30, persidangan tahun depan di Belem, Brazil, bagi memperbaiki perjanjian itu.

Pakar politik iklim Greenpeace, Tracy Carty berkata matlamat pembiayaan itu tidak memberikan sebarang jaminan pinjaman atau pembiayaan swasta yang akan menanggung kos itu, sebaliknya ia daripada pembiayaan awam berasaskan geran yang amat diperlukan oleh negara membangun.

Justeru, beliau dan pihak lain di Greenpeace menggesa bayaran harus diberikan oleh industri bahan api fosil.

Dalam pada itu, Fred Njehu, ahli strategi politik pan-Afrika untuk Greenpeace Afrika, mengeluarkan beberapa reaksi paling keras, menyifatkan perjanjian itu sebagai ‘penjajahan iklim’.

Sementara itu, beberapa negara juga berang ekoran sikap tolak ansur yang dicapai di sidang kemuncak COP29.

Wakil Nigeria menggambarkan permintaan AS$300 bilion (RM1.3 trilion) pada setiap tahun daripada negara perindustrian sehingga 2035 sebagai ‘jenaka’ dan ‘penghinaan’.

Wakil India pula membantah dengan menyatakan mereka tidak boleh bersetuju dengan keputusan itu kerana komitmen yang diambil pihak terbabit terlalu rendah.

Pada Persidangan Iklim Dunia PBB, tuan rumah Azerbaijan dengan segera mengesahkan teks penting itu, menyebabkan beberapa negara berasa diketepikan dan diabaikan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini