Tumpuan :
Dunia

Greece rancang perbelanjaan 20 bilion Euro, tangani krisis kelahiran rendah

Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis menyifatkan negara itu sedang dilanda ancaman nasional – Foto REUTERS

ATHENS: Greece merancang untuk membelanjakan 20 bilion euro (AS$22 bilion) menjelang 2035 sebagai langkah menghentikan penurunan kadar kelahiran yang merosot sejak 2022.

Peruntukan itu disalurkan menerusi Pelan Tindakan Demografi Nasional dengan menumpukan aspek persekitaran tempat kerja yang mesra keluarga, pemotongan cukai bagi keluarga yang mempunyai anak dan menggalakkan kesamarataan jantina dalam kerjaya dan institusi keluarga.

Menurut Kementerian Keluarga Negara itu, sebelum ini peruntukan berjumlah 1 bilion euro telah disalurkan bagi program meningkatkan kadar kelahiran. Bagaimanapun ia gagal.

Ketika ini, kadar kesuburan Greece berada pada 1.3 adalah antara yang terendah di benua eropah dan jauh di bawah 2.5 yang diperlukan untuk pertumbuhan populasi.

Sementara itu, Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis menyifatkan krisis demografi ini sebagai ancaman terhadap sistem pencen dan Greece sedang dilanda ancaman nasional.

Pelan Tindakan Demografi Nasional, yang telah dibangunkan selama beberapa bulan, kini dibentangkan secara rasmi. Pelan ini bertujuan mengurangkan impak populasi yang semakin mengecil dan menua terhadap daya saing jangka panjang dan kesejahteraan sosial.

Krisis ekonomi Greece pada 2009 memperburuk fenomena penurunan kelahiran apabila ramai anak muda berhijrah ke luar negara untuk pekerjaan.

Ia ditambah pula dengan sikap generasi muda yang berfikiran ‘child free’ terhadap perkahwinan menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan.

Hal ini sekali gus, menimbulkan kebimbangan terhadap produktiviti negara, dengan penurunan tenaga kerja dijangka memberi kesan besar kepada ekonomi Greece.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini