comscore
Tumpuan :
Dunia

Gold Apollo nafikan penglibatan dalam letupan alat kelui di Lubnan

Foto: Reuters

BEIJING: Gold Apollo, pengeluar alat kelui atau ‘pager’ dari Taiwan, menafikan bertanggungjawab terhadap letupan pager yang berlaku di Lubnan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hsu Chin-Kuang menjelaskan bahawa peranti berkenaan dihasilkan oleh syarikat Eropah dan tiada kaitan dengan produk Gold Apollo, lapor Sputnik.

Media Barat sebelum ini melaporkan bahawa agensi perisikan Israel, Mossad menanam sejumlah kecil bahan letupan dalam 5,000 alat kelui yang ditempah daripada Gold Apollo oleh pergerakan Hizbullah di Lubnan.

“Alat kelui itu dibangunkan dan dihasilkan di luar negara, jadi tiada kaitan dengan Taiwan,” kata Hsu seperti yang dipetik oleh portal berita Taiwan, CTWANT.

Beliau juga menjelaskan bahawa kira-kira tiga tahun lalu, Gold Apollo menandatangani perjanjian kerjasama dengan sebuah syarikat Eropah, yang pada mulanya hanya terlibat dalam pengedaran produk Gold Apollo.

Namun, syarikat itu mula membangunkan peranti yang terlibat dalam letupan itu secara bebas.

Pada Selasa, beberapa insiden letupan alat kelui dilaporkan di pelbagai kawasan di Lubnan. Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan bahawa letupan itu mengorbankan 11 orang dan lebih 4,000 orang cedera.

Media melaporkan bahawa alat kelui sering digunakan oleh anggota Hizbullah sebagai sistem komunikasi rahsia yang kurang terdedah kepada penggodaman.

Punca letupan masih belum diketahui, namun pihak berkuasa Lubnan menuduh Israel bertanggungjawab atas insiden terbabit.

— BERNAMA-SPUTNIK

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini