![](https://media.buletintv3.my/2023/01/CMS-ZAMIR-94.jpg)
MILAN: Bekas penyerang Sampdoria, Juventus dan Chelsea, Gianluca Vialli meninggal dunia, hari ini, pada usia 58 tahun susulan pertarungan menentang kanser pankreas buat kali kedua.
Vialli sebahagian daripada pasukan legenda Sampdoria yang memukau Itali dan Eropah pada lewat 1980-an dan awal 1990-an, antaranya memenangi kejuaraan Serie A Itali pada 1990-91.
Beliau membentuk gandingan ikonik di bahagian serangan bersama rakan sepermainannya masa kecil Roberto Mancini, dengan kedua-duanya digelar ‘I Gemelli del Gol’ dalam bahasa Itali yang bermakna “Kembar Gol”.
Vialli kemudian berpindah ke Juventus dengan perpindahan yang memecah rekod dunia pada masa itu £12.5 juta (RM65 juta) dan memenangi satu lagi kejuaraan Serie A, selain Liga Juara-Juara pada musim 1995-96.
Beliau kemudian berpindah ke England dan menjuarai Piala FA, Piala Liga dan Piala Pemenang Piala bersama Chelsea, muncul wira yang disanjungi di Stamford Bridge.
Pada 1998, beliau dilantik sebagai pemain-pengurus Chelsea selepas pemecatan Ruud Gullit dan kejuaraan Piala Pemenang Piala pada musim itu menjadikannya pengurus paling muda pernah memenangi pertandingan kelab UEFA, hinggalah Andre Villas-Boas memecahkan rekod itu bersama FC Porto.
Dalam beberapa tahun kebelakangan, beliau bertarung dengan kanser pankreas namun semuanya kembali normal pada 2020. Bagaimanapun beliau mengesahkan pada Disember 2021 kanser itu kembali semula.- AGENSI