BAITULMAQDIS: Kumpulan perubatan dan hak asasi manusia menggesa pembukaan segera koridor kemanusiaan dari Gaza bagi membolehkan pemindahan segera pesakit ke hospital di timur Baitulmaqdis.
Ketika ini, Israel mengawal semua laluan keluar masuk Gaza sejak peperangan lebih setahun lalu antara Rejim itu dengan pejuang Hamas.
Pemindahan perubatan yang jarang dilakukan itu disaran oleh pertubuhan antarabangsa atau negara asing dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa Israel.
Ketika angka korban terus meningkat, Rangkaian Hospital Baitulmaqdis Timur dan Pakar Perubatan untuk Hak Asasi Manusia Israel (PHRI) menggesa pembukaan segera laluan dari Gaza ke koridor perubatan Baitulmaqdis timur.
Usaha itu perlu dilakukan selepas dianggarkan 25,000 pesakit di Gaza kini memerlukan rawatan segera.
Pengarah Hospital Augusta Victoria di timur Baitulmaqdis, Fadi Atrash, berkata pembukaan semula koridor pemindahan penting untuk membolehkan pihaknya terus menyediakan rawatan penting.
Jelasnya, di lapangan baharu, petugas perubatan akan mempunyai ruang dan lebih kepakaran perubatan.
Sebelum perang, pesakit di Gaza memerlukan rawatan perubatan yang tidak tersedia di wilayah itu boleh dipindahkan ke hospital di Baitulmaqdis timur yang dikawal Israel atau Tebing Barat yang diduduki selain beberapa kes dibawa ke hospital lain di Israel.
Bagaimanapun, sejak perang Gaza meletus tahun lalu, pemindahan pesakit itu tidak lagi dilakukan.
Sementara itu, ketika pemindahan luar biasa kira-kira 200 pesakit dari Gaza pada awal November, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, kira-kira 14,000 orang sedang menunggu pemindahan perubatan.
Beberapa hari kemudian, Doctors Without Borders (MSF) memaklumkan pihak berkuasa Israel menyekat tanpa memberi sebarang alasan bagi pemindahan perubatan lapan kanak-kanak dan penjaga dari Gaza, termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang perlu dipindahkan ke Hospital MSF di Jordan.
Tindakan tiada timbang rasa itu dikecam MSF dan badan sukarela lain.
Menurut angka dari Kementerian Kesihatan, yang diperakui PBB, lebih 105,000 orang cedera di Gaza sejak perang meletus 7 Oktober 2023.
Sebahagian besar sistem penjagaan kesihatan di Gaza musnah akibat perang, dengan hanya berbaki beberapa kemudahan perubatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.