WASHINGTON: Beberapa kumpulan Muslim dan Arab Amerika mengancam menyekat derma dan undi terhadap pemilihan semula Presiden Amerika Syarikat Joe Biden 2024 melainkan beliau bertindak segera melakukan gencatan senjata di Gaza.
Majlis Demokrasi Muslim Kebangsaan merangkumi pemimpin parti Demokratik dari “negeri panas” yang boleh menentukan keputusan pilihan raya seperti Michigan, Ohio, dan Pennsylvania, mendesak Biden menggunakan pengaruhnya di Israel untuk merangka gencatan senjata.
Dalam surat terbuka bertajuk ‘2023 Ceasefire Ultimatum’, pemimpin Muslim berikrar menggerakkan kumpulan Islam, Arab, dan sekutu pengundi untuk menyekat sokongan, atau undi kepada mana-mana calon yang menyokong serangan Israel terhadap rakyat Palestin.
Majlis terbabit melalui utusan itu berkata, sokongan pentadbiran Biden yang tidak berbelah bahagi, meliputi dana dan persenjataan memainkan peranan signifikan dalam mengekalkan keganasan yang menyebabkan korban awam, menghakis kepercayaan pengundi yang sebelum ini meletakkan keyakinan kepadanya.
Emgage, kumpulan sivil Amerika Muslim, mendapati hampir 1.1 juta pengundi Islam pada pilihan raya 2020.
Tinjauan Associated Press pula mencerap 64% Muslim mengundi Biden, calon Demokrat, dan 35% memilih seterunya dari Republikan, Donald Trump.
Pengarah Eksekutif Majlis Perhubungan Amerika-Islamik (CAIR), Jaylani Hussein di Minnesota, berkata beliau tidak punya pilihan untuk tidak mengundi Biden pada 2024, melainkan beliau berusaha menamatkan pertempuran.
Dalam pada itu, kumpulan pro-Palestin tempatan merancang mengadakan protes di Minneapolis pada Rabu, ketika lawatan Biden ke Minnesota.
Masyarakat Arab dan Muslim Amerika menyuarakan kekecewaan susulan keengganan Biden mengutuk serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Representatif Rashida Tlaib, berketurunan Palestin Amerika dari Michigan mengeluarkan video berdurasi 90 saat dalam platform X, mengecam sokongan Biden yang digambarkan “kempen genosid Israel di Palestin,” sambil menyatakan “Jangan bergantung pada undi kami 2024.”
Pada 2020, Biden menang 16 undi Kolej Elektoral dengan 2.8 mata peratusan.