Tumpuan :
Dunia

Gencatan senjata satu-satunya cara bawa pulang tahanan Israel – Hamas

Foto: REUTERS

KAHERAH: Kumpulan Hamas mengingatkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa satu-satunya cara untuk membawa pulang tahanan Israel adalah dengan menghormati gencatan senjata antara Israel dan Hamas.

Pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, berkata Trump perlu ingat terdapat perjanjian yang perlu dihormati oleh kedua-dua pihak, dan ia adalah satu-satunya cara untuk membawa pulang tahanan.

“Ancaman tidak mempunyai nilai dan hanya merumitkan keadaan,” katanya.

Semalam, Trump dilaporkan berkata, beliau akan mencadangkan pembatalan gencatan senjata dan membiarkan ‘kekacauan tercetus’ jika semua tahanan Israel yang ditahan oleh pejuang Hamas tidak dibebaskan menjelang Sabtu ini.

Hamas, yang sepatutnya membebaskan beberapa tahanan secara berperingkat di bawah perjanjian gencatan senjata sejak Januari lalu, menangguhkan pembebasan tahanan sehingga diberitahu kelak.

Ia selepas kumpulan pejuang itu menuduh Israel melanggar syarat-syarat gencatan senjata dengan terus melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza.

Trump turut mencetuskan kemarahan dunia Arab apabila mencadangkan AS supaya mengambil alih Gaza, memindahkan lebih dua juta penduduknya dan mengubah kawasan itu menjadi ‘Riviera Asia Barat’.

Trump akan bertemu dengan Raja Jordan, Abdullah, hari ini dalam pertemuan yang dijangka tegang susulan cadangan untuk membangunkan semula Gaza.

Cadangan itu termasuk ancaman untuk memotong bantuan kepada negara Arab jika ia enggan menerima penempatan semula rakyat Palestin.

Pemindahan paksa penduduk di bawah pendudukan tentera adalah jenayah perang yang dilarang oleh Konvensyen Geneva 1949. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini