Tumpuan :
Dunia

Gencatan senjata Hizbullah dan Israel berkuat kuasa hari ini

Foto: Reuters

WASHINGTON D.C: Gencatan senjata antara Hizbullah dan Israel akan berkuat kuasa hari ini jam 4 pagi waktu tempatan atau jam 10 pagi waktu Malaysia.

Menurut Presiden Amerika Syarikat Joe Biden perjanjian yang dimediasi oleh Amerika Syarikat dan Perancis itu bagi menghentikan konflik yang telah meragut ribuan nyawa di Lubnan.

“Amerika Syarikat, dengan sokongan penuh dari Perancis dan sekutu lain, telah berjanji untuk bekerjasama dengan Israel dan Lubnan bagi memastikan perjanjian ini dilaksanakan sepenuhnya. Tiada tentera A.S. akan ditempatkan di selatan Lubnan. Ini selaras dengan komitmen saya kepada rakyat Amerika untuk tidak menghantar tentera A.S. ke dalam pertempuran dalam konflik ini. Sebaliknya, kami bersama Perancis dan pihak lain, akan menyediakan bantuan yang diperlukan bagi memastikan perjanjian ini dilaksanakan sepenuhnya dan dengan berkesan”, katanya.

Dalam kenyataannya di White House, Biden berkata perjanjian itu dirancang untuk menghentikan kekerasan secara kekal.

Benjamin Netanyahu dalam pada itu menyatakan kesediaan untuk melaksanakan perjanjian itu tetapi menegaskan akan bertindak tegas jika Hizbullah melanggar gencatan senjata.

Netanyahu juga secara angkuh menekankan Israel akan mengekalkan “kebebasan tindakan ketenteraan sepenuhnya.”

Perjanjian ini antara lain mentapkan tentera Israel berundur dari selatan Lubnan, manakala tentera Lubnan akan mengambil alih kawalan di kawasan berkenaan.

Hizbullah juga bersetuju untuk menghentikan kehadiran bersenjata di sepanjang sempadan selatan Sungai Litani.

Menteri Luar Lubnan, Abdallah bou Habib, berkata sekurang-kurangnya 5,000 tentera Lubnan akan ditempatkan di selatan negara itu selepas tentera Israel berundur.

Amerika Syarikat juga dijangka membantu dalam membina semula infrastruktur yang rosak akibat serangan udara Israel.

Gencatan senjata ini diharapkan menjadi langkah penting ke arah keamanan yang lebih mampan di rantau berkenaan.

Bagaimanapun penganalisis berpandangan, gencatan senjata itu adalah untuk Israel memberi tumpuan kepada melakukan lebih banyak jenayah kemanusiaan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan seterusnya merampas lebih banyak tanah umat Islam di Palestin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini