ANKARA: Kementerian Luar Qatar mengumumkan pada Sabtu bahawa perjanjian gencatan senjata untuk Semenanjung Gaza berkuat kuasa pada Ahad (19 Januari) jam 8.30 pagi waktu tempatan.
Memetik kenyataan Jurucakap Kementerian Luar, Majed Al-Ansari menerusi laman X, seperti yang diselaraskan oleh pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian dan pengantara, gencatan senjata di Gaza akan bermula pada 8.30 pagi, Ahad, 19 Januari, waktu tempatan.
Beliau turut menasihati penduduk untuk sentiasa berhati-hati, mengambil langkah berjaga-jaga sepenuhnya, dan menunggu arahan daripada pihak berkuasa rasmi.
Pada Rabu, Qatar mengumumkan perjanjian gencatan senjata tiga fasa untuk menamatkan lebih 15 bulan serangan maut Israel di Gaza, dengan gencatan senjata dijangka berkuat kuasa pada Ahad.
Sejak 7 Oktober 2023, hampir 46,900 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh dan lebih 110,600 cedera akibat serangan Israel.
Terdahulu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant pada November atas tuduhan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Israel juga sedang menghadapi dakwaan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung keganasan mereka di kawasan tersebut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.