KAHERAH: Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza berkuat kuasa pada hari Ahad selepas kelewatan hampir tiga jam, menghentikan peperangan yang telah berlangsung selama 15 bulan, membawa kemusnahan dan perubahan politik besar di Asia Barat.
Penduduk dan seorang pekerja perubatan di Gaza melaporkan bahawa mereka tidak mendengar sebarang pertempuran atau serangan ketenteraan baharu sejak kira-kira setengah jam sebelum gencatan senjata itu akhirnya dilaksanakan.
Serangan udara Israel dan tembakan artileri telah mengorbankan 13 rakyat Palestin antara jam 6:30 pagi GMT, waktu sepatutnya gencatan senjata bermula dan 9:15 pagi GMT, apabila ia akhirnya berkuat kuasa, menurut petugas perubatan Palestin.
Israel menyalahkan Hamas atas kelewatan tersebut setelah kumpulan itu gagal memberikan senarai yang menamakan tiga tebusan pertama akan dibebaskan berdasarkan perjanjian itu.
Hamas menyatakan bahawa kelewatan itu disebabkan oleh sebab-sebab ‘teknikal’, tanpa memperincikannya.
Seorang pegawai Palestin yang enggan dikenali berkata, kelewatan berlaku kerana perantara meminta 48 jam tempoh ketenangan sebelum pelaksanaan gencatan senjata, tetapi serangan Israel yang berterusan sehingga saat akhir telah menyukarkan untuk menghantar senarai tersebut.
Dua jam selepas tarikh akhir, Hamas mengesahkan bahawa mereka telah menghantar senarai nama tebusan yang akan dibebaskan dan pihak Israel mengesahkan penerimaannya.
Hamas menamakan tiga tebusan yang akan dibebaskan pada hari Ahad sebagai Romi Gonen, Doron Steinbrecher dan Emily Damari.
Israel bagaimanapun tidak segera mengesahkan nama-nama berkenaan.
Perjanjian gencatan senjata yang sangat dinanti-nanti itu berpotensi membawa kepada pengakhiran peperangan di Gaza yang berlarutan sejak Oktober 2023. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.