Tumpuan :
Dunia

Gempa kuat landa wilayah China ragut lebih 50 nyawa

FOTO: Reuters

TIBET: Sekurang-kurangnya 53 orang terkorban susulan gempa bumi 6.8 magnitud di kawasan terpencil Himalaya di Tibet di China.

Gegaran berlaku di Daerah Dingri di Wilayah Autonomi Xizang, Tibet jam 9:05 pagi waktu tempatan.

Menurut pihak berkuasa China gegaran turut dirasai hingga ke Nepal, Bhutan dan India.

Menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China, pusat gempa dikesan di Tingri pada kedalaman 10 kilometer.

Ia dikenalpasti sebuah daerah luar bandar di China yang juga pintu masuk utara ke kawasan Everest.

Dalam pada itu, Perkhidmatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) pula mencatatkan kekuatan gempa terbabit pada 7.1 magnitud.

Kesan gempa dirasai di seluruh wilayah Shigatse di Tibet, yang didiami lebih 800,000 penduduk.

Beberapa rakaman kejadian dan kesannya tular di media sosial, memaparkan premis perniagaan runtuh dengan sebahagian lagi rosak.

Serpihan bangunan juga bertaburan di atas jalan raya.

Media Reuters mengesahkan lokasi terbabit berdasarkan bangunan berhampiran, susun atur jalan dan papan tanda yang sepadan dengan imej satelit.

Terdapat tiga pekan dan 27 kampung dalam lingkungan 20 kilometer dari pusat gempa, dengan jumlah penduduk sekitar 6,900 orang.

Ketika ini, pegawai kerajaan tempatan giat berhubung dengan pentadbir pekan berdekatan bagi menilai kesan gempa dan memeriksa sekiranya terdapat korban.

Untuk rekod, gempa bumi besar berlaku di wilayah Sichuan, China pada 2008 mengorbankan hampir 70,000 orang, manakala bencana sama dengan kekuatan 7.8 magnitud melanda Kathmandu pada 2015, mengorbankan lebih 9,000 nyawa dan ribuan lagi cedera yang juga disifatkan terburuk dalam sejarah Nepal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini