comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] Gempa Jepun: Enam disahkan terkorban dalam gempa bumi di Jepun setakat ini

 

TOKYO: Ketika polis dan pihak berkuasa tempatan dilaporkan mengeluarkan sejumlah mayat dari runtuhan bangunan, sekurang-kurangnya enam terbunuh setakat ini dalam gempa bumi kuat yang melanda Jepun pada hari tahun baharu, semalam.

Gempa bumi dengan magnitud awal 7.6 pada tengah hari itu memusnahkan bangunan, memutuskan bekalan elektrik puluhan ribu kediaman dan mendorong penduduk di beberapa kawasan pantai melarikan diri ke kawasan yang lebih tinggi.

Antara bangunan yang runtuh di Wajima, wilayah Ishikawa, susulan gempa bumi di Jepun. – FOTO: Reuters

Ia juga mencetuskan ombak setinggi kira-kira satu meter di sepanjang pesisir pantai barat Jepun yang panjang dan negara jiran, Korea Selatan.

Anggota tentera dihantar untuk membantu operasi menyelamat, manakala sebuah lapangan terbang tempatan ditutup selepas gempa bumi menyebabkan retakan terbuka di landasan.

Menurut laporan media tempatan, seorang lelaki warga emas disahkan meninggal dunia selepas sebuah bangunan runtuh di bandar Shika, Ishikawa dan empat kematian berlaku di Ishikawa termasuk seorang lelaki dan wanita berusia 50an, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang lelaki berusia 70an

Memetik kenyataan polis, seorang lelaki berusia 90an dikeluarkan dari runtuhan bangunan dan dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia.

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida memberitahu pemberita pada lewat semalam, sukar bagi pasukan mencari dan menyelamat untuk sampai ke kawasan yang paling teruk terjejas berikutan jalan tersekat.

Kerajaan Jepun berkata, setakat malam tadi, ia mengarahkan lebih 97,000 penduduk di sembilan wilayah di pantai barat pulau utama Honshu untuk berpindah.

Mereka bermalam di dewan sukan dan gimnasium sekolah, yang biasa digunakan sebagai pusat pemindahan semasa kecemasan.

Hampir 33,000 isi rumah tinggal di rumah masing-masing tanpa bekalan elektrik di wilayah Ishikawa pada awal pagi hari ini, menurut laman web Hokuriku Electric Power.

Agensi Isi Rumah Imperial pula  berkata, berikutan bencana itu, ia akan membatalkan kehadiran Maharaja Naruhito dan Maharaja Masako.

Gempa bumi itu berlaku pada masa yang sensitif bagi industri nuklear Jepun, yang berdepan tentangan hebat daripada sejumlah penduduk tempatan sejak gempa bumi dan tsunami pada 2011 yang mencetuskan runtuhan nuklear di Fukushima.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Peraturan Nuklear berkata, tiada sesuatu yang luar biasa ditemui di loji nuklear di sepanjang Laut Jepun, termasuk lima reaktor aktif di Ohi yang diuruskan Kansai Electric Power dan loji Takahama di Fukui Prefecture.

Loji Shika Hokuriku Electric, yang paling hampir dengan pusat gempa sudah menghentikan dua reaktornya sebelum gempa untuk pemeriksaan biasa dan tidak melihat kesan daripada gempa itu, kata agensi itu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini