JEPUN: Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda wilayah Ishikawa di pulau utama Honshu, Jepun semalam meningkat kepada 48 mangsa.
Memetik laporan agensi antarabangsa, pasukan penyelamat kini berdepan situasi sukar apabila masih banyak bangunan yang runtuh dan terbakar di sekitar kawasan terjejas.
Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata, misi menyelamat mangsa yang masih terperangkap sedang dijalankan secara berterusan dengan masa yang sangat kritikal.
“Kita mesti menyelamatkan mereka (mangsa) secepat mungkin terutama yang masih lagi terperangkap di bawah runtuhan bangunan,” jelasnya kepada media antarabangsa.
Kira-kira seribu pasukan penyelamat dikerahkan ke kawasan terjejas bagi misi mencari dan menyelamat mangsa yang masih terperangkap dibawah runtuhan.
Gempa bumi berukuran 7.6 magnitud yang melanda wilayah berkenaan mencetuskan gelombang tsunami setinggi lebih satu meter dengan hampir 45,000 isi rumah terputus bekalan elektrik.
Merumitkan situasi lagi, apabila suhu mencapai tahap beku pada waktu malam.