JAJARKOT: Sekurang-kurangnya 128 orang maut manakala 140 lagi cedera apabila gempa bumi kuat melanda Jajarkot, kira-kira 500 kilometer barat Kathmandu, ibu kota Nepal.
Menurut Pusat Seismologi Kebangsaan Nepal, gempa berkekuatan 6.4 magnitud yang berpusat di Ramidanda itu melanda jam 11.47 malam tadi waktu tempatan.
Gempa berkenaan disifatkan sebagai yang terburuk melanda negara terbabit sejak tahun 2015 apabila 9,000 orang maut dalam dua kejadian ketika itu.
Kebanyakan rumah dan bangunan di lokasi kejadian musnah dalam bencana alam berkenaan.
Gegaran turut dirasai sehingga ke New Delhi, India.
Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan angka korban terus meningkat ekoran terdapat kawasan terpencil yang sukar dituju turut terjejas akibat gempa terbabit.
Perdana Menteri, Pushpa Kamal Dahal dalam pada itu merakamkan simpati buat kesemua waris mangsa dan mengarahkan agensi keselamatan untuk segera menghulurkan bantuan selain terbabit operasi SAR mangsa secepat mungkin.
SUMBER REUTERS