BEIJING: Sekurang-kurangnya sembilan orang terkorban selepas gempa bumi kuat berukuran 7.1 magnitud melanda wilayah terpencil di Tibet pada pagi Selasa, lapor media rasmi China.
Gempa berlaku pada jam 9.05 pagi waktu tempatan, dengan kedalaman pusat gempa diukur pada 10 kilometer, diikuti beberapa gegaran susulan.
Pusat Gempa Bumi China (CENC) dan United States Geological Survey (USGS) melaporkan pusat gempa terletak di kawasan tinggi di dataran Tibet, berhampiran sempadan Himalaya dan Nepal.
Sementara itu, agensi berita Xinhua melaporkan beberapa rumah di kampung berhampiran runtuh akibat gegaran itu.
Bandar utama terdekat, Shigatse, yang terletak kira-kira 180 kilometer dari pusat gempa, juga merasai gegaran tersebut.
Gegaran dari gempa itu turut dirasai sejauh ibu kota Nepal, Kathmandu, yang terletak kira-kira 400 kilometer dari Shigatse, serta beberapa kawasan di utara India. Penduduk di Kathmandu dilaporkan melarikan diri dari rumah mereka, menurut laporan media India.
Untuk rekod, dalam tempoh lima tahun terakhir, kawasan dalam radius 200 kilometer dari lokasi gempa itu telah mencatatkan 29 gempa bumi berskala 3 magnitud atau lebih tinggi.
Pihak berkuasa sedang menjalankan pemantauan terhadap situasi dan sebarang perkembangan lanjut mengenai angka korban serta kerosakan infrastruktur.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.