TOKYO: Gempa bumi kuat berukuran 6.4 magnitud melanda pantai Miyazaki, Kyushu, Jepun, pada jam 9.19 malam waktu tempatan, semalam.
Gempa tersebut berlaku pada kedalaman 30 kilometer dan mencapai intensiti maksimum tahap 5 pada skala gempa Jepun, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Susulan kejadian itu, amaran tsunami dikeluarkan untuk wilayah Miyazaki dan Kochi. Gelombang tsunami setinggi kira-kira 20 sentimeter dilaporkan berlaku sebelum amaran tersebut ditarik balik.
Kawasan yang merekodkan gegaran terkuat termasuk Bandar Miyazaki, Bandar Takaharu, dan Bandar Shintomi, dengan intensiti gempa dicatatkan pada tahap 5 lemah.
Sementara itu, Bandar Kurume di Wilayah Fukuoka merekodkan gegaran pada tahap 4.
Gempa berlaku di kawasan Laut Hyuga-nada, kira-kira 30 kilometer di bawah dasar laut, menjadikannya salah satu gempa bumi terkuat melanda Jepun tahun ini.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada laporan mengenai kerosakan besar atau kecederaan akibat gempa bumi diterima pihak berkuasa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.