GAZA: Tentera Israel terus menyerang bandar utama di selatan Gaza semalam tanpa mempedulikan nyawa penduduk Gaza yang kini tiada tempat untuk berlindung.
Walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah memberi amaran berlaku kerosakan menyeluruh dalam ketenteraman awam selepas hampir dua bulan perang tercetus, regim Zionis semakin nekad meningkatkan serangan.
Menurut saksi, tentera Israel yang dilengkapi kereta kebal, kenderaan berperisai serta jentolak kini bergerak jauh ke dalam Khan Yunis, bandar kedua terbesar di Gaza.
Ia sekali gus memaksa orang awam yang dipindahkan ke situ kembali melarikan diri.
Sementara itu , tentera Israel mendakwa, mereka sudah menembusi barisan pertahanan dan melakukan ‘serbuan yang disasarkan di tengah-tengah bandar’, malah menemui dan memusnahkan 30 terowong didakwa milik Hamas.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu kenyataan video berkata, tentera Israel sedang menghampiri rumah ketua Hamas, Yahya Sinwar, dengan seorang jurucakap mengesahkan ia di ‘bawah tanah’ di kawasan Khan Yunis.
Sinwar menjadi sasaran penting kerana didakwa dalang utama yang merancang dan melaksanakan serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober lalu.
“Kami kecewa, mental penat. Kami memerlukan seseorang untuk mencari penyelesaian supaya kami dapat keluar dari malapetaka ini,” kata penduduk Khan Yunis, Amal Mahdi, yang terselamat daripada serangan Israel, semalam.
Angka terbaharu kerajaan Hamas menunjukkan, sebanyak 16,248 mangsa di wilayah Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam perang itu.
Menurut data PBB, sebahagian besar bahagian utara Gaza sudah pun menjadi ‘padang jarak, padang tekukur’ akibat pertempuran dan pengeboman sengit, menyebabkan 1.9 juta orang kehilangan tempat tinggal. -AGENSI