comscore
Tumpuan :
Dunia

Gaza, Lubnan terus dibom, Netanyahu temui Kabinet Perang

FOTO: Reuters

BAITULMAQDIS: Israel yang dilapor akan melancarkan serangan darat pada bila-bila masa terus mengarahkan pesawatnya mengebom Gaza di awal pagi dan semalaman membedil Selatan Lubnan.

Pada masa sama, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengadakan bersama mesyuarat jeneral tertinggi dan Kabinet Perangnya untuk menilai konflik yang semakin meruncing.

Lapor media Palestin, serangan Israel bertumpu di tengah dan utara Semenanjung Gaza.

Serangan berhampiran kem pelarian Jabalia di utara Gaza membunuh beberapa rakyat Palestin manakala ramai yang lain cedera.

Hamas berkata sekurangnya-kurangnya 55 orang terkorban dalam serangan bom di Gaza pada Ahad.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, serangan udara dan peluru berpandu Israel setakat ini telah membunuh sekurang-kurangnya 4,651 mangsa dan mencederakan lebih 14,000 yang lain.

Kezaliman rejim turut mengakibatkan lebih sejuta daripada 2.3 juta penduduk di kawasan padat itu kehilangan tempat tinggal.

Pemimpin Hamas, Palestin, Ismail Haniyeh, dalam kenyataannya berkata, beliau menghubungi Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian bagi membincangkan cara menghentikan ‘jenayah kejam’ Israel ke atas Gaza.

Sementara itu, awal semalam, tentera Israel mengesahkan pesawatnya menyerang dua kubu Hizbullah di Lubnan, yang didakwa merancang melancarkan peluru berpandu serta roket anti-kereta kebal ke arah Israel.

Dalam perkembangan lain, banyak bantuan tiba di Gaza dengan Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh, menggesa masyarakat antarabangsa mewujudkan ‘barisan hadapan yang bersatu’ untuk menghentikan serangan Israel di Gaza dan membenarkan bantuan dibawa masuk.

Konvoi kedua 17 trak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza pada Ahad ketika Israel meningkatkan serangan bom terhadap wilayah Palestin itu.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekitar 100 trak setiap hari diperlukan untuk memenuhi keperluan 2.4 juta penduduk Gaza yang dilanda ‘malapetaka’.

Ketua agensi PBB untuk pelarian Palestin mengingatkan bahawa bekalan bahan api akan habis dalam tiga hari.

Kesemua hospital di seluruh Semenanjung Gaza juga kehabisan simpanan bahan api untuk menjana elektrik kecemasan, meletakkan nyawa ribuan pesakitnya dalam risiko.

Menurut jurucakap kesihatan Gaza, perkembangan itu memburukkan lagi keadaan dan ia jelas satu kezaliman kemanusiaan terhadap penduduk Gaza.

Kini, satu persatu hospital mungkin menutup operasinya, kerana tiada bekalan elektrik yang sangat diperlukan bagi penjanaan hampir kesemua peralatan perubatan, termasuk untuk melakukan pembedahan kecemasan.

Selain itu, bekalan perubatan yang baru tiba juga masih jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk Gaza yang semakin meningkat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga sudah memberi amaran seawal 12 Oktober lalu bahawa sistem kesihatan di Gaza berada pada ‘tahap tenat’ dan berpotensi untuk lumpuh. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini