comscore
Tumpuan :
Dunia

Gangguan IT jejas 8.5 juta peranti Windows-Microsoft

Foto hiasan

BERLIN: Sekitar 8.5 juta peranti Windows terjejas oleh kemas kini perisian yang menyebabkan gangguan meluas di seluruh dunia, menurut gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS), Microsoft, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Ini mewakili kurang satu peratus daripada semua komputer Windows, kata syarikat itu dalam blognya.

Walaupun begitu, kesan ekonomi dan sosial yang meluas menunjukkan betapa banyak syarikat yang menjalankan perkhidmatan penting menggunakan penyedia perisian CrowdStrike.

Gangguan sistem IT itu menyebabkan gangguan besar di seluruh dunia pada Jumaat, hampir melumpuhkan trafik udara di banyak tempat.

Pasar raya, bank, hospital, stesen televisyen dan institusi lain turut terjejas.

CrowdStrike menyebut kemas kini perisian untuk komputer Windows sebagai punca. Firma itu mengisytiharkan isu itu selesai pada petang Jumaat, tetapi beberapa kesan masih dirasai selepas itu.

Menurut Persatuan Lapangan Terbang Jerman, trafik udara di Jerman sebahagian besarnya telah kembali normal pada masa ini.

Pejabat Keselamatan Maklumat Persekutuan (BSI) berkata pada petang Sabtu bahawa keadaan sedang stabil di banyak kawasan, tetapi banyak syarikat terus berdepan kesan gangguan itu.

“Belum dapat dipastikan secara muktamad bagaimana kod yang rosak itu masuk ke dalam kemas kini CrowdStrike. BSI juga dalam komunikasi intensif dengan syarikat itu mengenai perkara ini,” kata pejabat itu.- BERNAMA-dpa

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini