Tumpuan :
Dunia

Gabungan Prabowo kuasai pilihan raya wilayah di Indonesia kecuali Jakarta

Seorang pegawai pilihan raya menunjukkan kertas undi ketika di sebuah pusat mengundi selepas pilihan raya wilayah, di Jakarta. – Foto: REUTERS

JAKARTA: Calon-calon yang disokong oleh Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dilihat berpotensi memenangi pilihan raya daerah utama kecuali Jakarta, yang disifatkan penganalisis memudahkan beliau melaksanakan agendanya selain mengukuhkan pengaruh politik.

Lebih 200 juta rakyat Indonesia semalam mengundi untuk memilih pemimpin di 37 wilayah, 93 bandar dan 415 daerah.

Walaupun keputusan rasmi hanya akan diumumkan seawal Sabtu (30 November) atau selewat-lewatnya pada 15 Disember, peninjau bebas sudah mengeluarkan ‘keputusan’ pilihan raya mereka.

Calon-calon yang disokong oleh gabungan besar Prabowo, yang sebahagiannya turut disokong oleh bekas Presiden Joko Widodo (Jokowi), memenangi kebanyakan wilayah utama termasuk Jawa Tengah, Jawa Barat dan Jawa Timur, menurut keputusan awal tinjauan pendapat.

“Ini adalah kejayaan untuk Prabowo dan juga Jokowi, tetapi tidak berhasil merebut Jakarta, ia satu kegagalan besar.

“Pelaksana semua program Prabowo adalah pemimpin wilayah (Jakarta) ini,” kata Felo Kanan Pelawat di Institut ISEAS-Yusof Ishak, Yanuar Nugroho kepada Reuters.

Jawa Tengah, Jawa Barat dan Jawa Timur dilihat sebagai penting kerana ia wilayah paling ramai penduduk, manakala Jakarta mempunyai kepentingan nasional sebagai ibu kota dan seperti yang dilihat dengan Widodo, boleh menjadi batu loncatan untuk bertanding jawatan presiden.

“Kemenangan itu penting supaya program Prabowo dapat dilaksanakan dan disepadukan dengan baik,” kata pegawai kanan parti Gerindra, Sufmi Dasco Ahmad, parti yang dipimpin Prabowo.

Di Jakarta, calon gabenor dan timbalan gabenor yang disokong oleh pembangkang, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) mempunyai antara 49.49 hingga 51.1 peratus undi, kata tinjauan pendapat, mendahului tiket sokongan gabungan 13 parti bersekutu kerajaan dan pasangan bebas.

Calon mesti memperoleh majoriti mutlak untuk menang di Jakarta, atau akan ada pusingan kedua pengundian.

Sementara itu, penganalisis pilihan raya, Titi Anggraini, berkata keputusan keseluruhan akan melancarkan laluan bagi Prabowo untuk melaksanakan ikrar pilihan rayanya sendiri dan memberinya ruang untuk mula membina platform bagi bertanding semula pada 2029.

Yanuar juga berkata, keputusan itu akan memudahkan Prabowo untuk melaksanakan dasar beliau seperti makanan percuma untuk murid sekolah dan lain-lain, program pembasmian kemiskinan dan sara diri makanan.

“Prabowo mahu menyatukan kuasanya supaya tiada gangguan terhadap programnya,” katanya.

Prabowo mengangkat sumpah sebagai presiden pada 20 Oktober lalu selepas menang besar dalam pilihan raya awal tahun ini.

Beliau mendapat sokongan daripada tujuh daripada lapan parti dalam Parlimen negara itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini