Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] Gabungan adat tradisi dan moden Britain jadi tumpuan pada istiadat pertabalan Raja Charles hari ini

 

LONDON: Istiadat pertabalan Raja Charles III dijadualkan berlangsung hari ini.

Istiadat dijangka menyaksikan gabungan menarik antara adat tradisi berusia hampir 1,000 tahun lalu, dengan upacara moden yang menggambarkan pelbagai kepercayaan dan budaya di Britain, menurut Perintah Perkhidmatan.

Raja Charles III – Foto: Reuters

Istiadat yang dijadual disertai kira-kira 100 ketua negara dan orang kenamaan, menyaksikan Charles akan ditabalkan di Westminster Abbey, yang menjadi lokasi bagi semua pertabalan sejak William the Conqueror pada 1066.

Menurut Perintah Perkhidmatan, istiadat pertabalan sejak berabad lalu, diubah suai dengan keperluan semasa, yang mana upacara Charles buat pertama kalinya akan merangkumi perarakan pemimpin agama dan pembabitan pelbagai pihak yang mencerminkan kepelbagaian United Kingdom serta penduduknya, iaitu berbeza dengan 70 tahun lalu.

Sebagai Raja, Charles yang juga adalah gabenor tertinggi Gereja England dengan gelaran ‘Pelindung Kepercayaan’, sebelum ini, mempertahankan kedudukan baginda yang ingin menjadi pembela semua agama.

Sebahagian persediaan di sekitar Istana Buckingham menjelang pertabalan Raja Charles dan Ratu Camilla, hari ini. – Foto: Reuters

Baginda sering bertitah berhubung komitmennya terhadap pelbagai agama antaranya Kristian, Yahudi, Islam, Buddha dan Sikh.

Menurut Perintah Perkhidmatan, Raja akan berdoa buat kali pertama pada istiadat pertabalan secara terbuka bagi memohon rahmat dan berkat kepada semua daripada setiap kepercayaan.

Turut dijangka berlangsung ialah upacara penyampaian alat kebesaran diraja yang bersejarah kepada Raja, termasuk tongkat kerajaan dan cokmar, cincin dan sudu, di mana ia akan ‘mencerminkan kepelbagaian United Kingdom dan rakyatnya, berbeza dengan 70 tahun lalu.’

Keprihatinan Raja terhadap alam semula jadi juga akan diterjemahkan dalam pakaian isterinya, Raja Permaisuri Camilla, yang turut dijadual ditabalkan, hari ini.

Baginda dijangka menyarungkan busana yang menampilkan hidupan seperti lebah, kumbang dan beberapa tumbuhan. – REUTERS.

Loading...
Terkini