INDIA: Pihak berkuasa Manipur, negeri di timur laut India mengeluarkan arahan tembak serta merta kepada mana-mana individu yang membuat kekacauan, dalam ketegangan pertempuran etnik di negeri itu yang sehingga kini meragut enam nyawa.
Anggota tentera kini dikerah melakukan rondaan dan berkawal setelah perintah berkurung dikuatkuasakan bagi meredakan keadaan.
Arahan tembak itu dikeluarkan gabenor negeri bagi menangani perusuh dalam kes ekstrim jika amaran dan langkah sepatutnya tidak dihiraukan.
Pihak berkuasa India menempatkan ratusan anggota tentera termasuk dari pasukan pusat untuk membantu usaha kawalan keselamatan.
Dianggarkan 9,000 penduduk terpaksa dipindahkan daripada daerah terjejas ke premis kerajaan dan kem tentera, selepas perusuh bertindak merosakkan kedai dan premis perniagaan termasuk hotel, selain membakar kediaman.
Pihak berkuasa juga telah memutuskan talian internet bagi menghentikan penyebaran maklumat yang memburukkan keadaan.
Pertempuran bermula susulan beberapa kumpulan etnik membantah tuntutan etnik Meitei untuk dimasukkan ke dalam kategori puak berjadual bawah kerajaan yang akan mendapat beberapa hak keistimewaan.