RIO DE JANEIRO: Negara anggota Kumpulan 20 (G20) menyokong penuh penyelesaian dua negara bagi menangani konflik Israel-Palestin yang terus menghuru-harakan landskap geopolitik Asia Barat.
Sokongan itu dinyatakan Brazil selaku Presiden G20 selepas mesyuarat diplomat tertinggi, sekali gus menambah tekanan global kepada Israel untuk mengisytihar Palestin sebagai negara merdeka.
Mesej itu disampaikan sehari selepas Parlimen Israel mengadakan undian besar-besaran bagi menyokong cadangan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menentang sebarang pengiktirafan ‘sebelah pihak’ terhadap Palestin.
Lebih empat bulan operasi ketenteraan Israel di Gaza, Kementerian Luar Brazil melalui menterinya, Mauro Vieira berkata, G20 sepakat secara maya menyokong penyelesaian dua negara sebagai satu-satunya cara meredakan krisis di rantau berkenaan.
Mesyuarat G20 itu menghimpunkan diplomat tertinggi termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken; Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov dan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell.
Sementara itu, Borrell mengambil kesempatan dengan menggesa Vieira menggunakan kenyataan penutupnya untuk menjelaskan kepada dunia bahawa semua pihak dalam G20 memihak kepada penyelesaian dua negara dengan Palestin sebuah negara merdeka wujud bersama Israel.
Mengulas lanjut, Borrell berharap untuk menyaksikan cadangan daripada negara Arab untuk menyokong isu itu dalam beberapa hari akan datang, sekali gus menambah potensi matlamat itu dizahirkan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.