MANILA: Filipina menyerahkan Instrumen Pengesahan (IoR) Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kepada ibu pejabat ASEAN di Jakarta, Indonesia, kata Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA)
Duta Besar Filipina ke ASEAN Hjayceelyn Quintana menyerahkan depositori perjanjian RCEP kepada Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Horn
“Perjanjian RCEP bagi Filipina akan berkuat kuasa pada 2 Jun 2023,” menurut sekretariat ASEAN.
Dalam penyerahan dokumen itu, Quintana menekankan “kemasukan tepat pada masa berkuat kuasanya RCEP untuk Filipina selari dengan pembaharuan ekonomi yang sedang berjalan di negara itu.”
“Penyertaan Filipina dalam RCEP penting terutama kerana ia akan menjadikan industri kami lebih berdaya saing. Ia juga melengkapkan program sokongan kerajaan sedia ada dengan langkah-langkah yang dilaksanakan berdasarkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) untuk membuka perdagangan,” katanya.
Senat Filipina meratifikasi RCEP pada Februari.
RCEP terdiri daripada 15 negara Asia-Pasifik termasuk 10 negara anggota ASEAN – Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, dan lima rakan dagangnya iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
Ia mewakili kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia, meliputi kira-kira 30 peratus daripada penduduk dunia dan 30 peratus daripada jumlah ekonomi dan perdagangan dunia. – BERNAMA-XINHUA