comscore
Tumpuan :
Dunia

Filipina pertingkat keselamatan Presiden, selepas Naib Presiden ugut bunuh

Naib Presiden Filipina, Sara Duterte – FOTO: Reuters

MANILA: Agensi keselamatan Filipina mempertingkatkan protokol keselamatan pada Sabtu selepas Naib Presiden, Sara memaklumkan sudah mengarahkan Presiden Ferdinand Marcos Jr dibunuh jika beliau sendiri menjadi mangsa pembunuhan.

Ancaman bunuh itu muncul ketika jurang perpecahan semakin meluas antara dua keluarga politik paling berkuasa di negara Asia Tenggara itu.

Sara Duterte memberitahu sidang media pada awal pagi bahawa beliau sudah bercakap dengan seorang pembunuh upahan dan mengarahkannya membunuh Marcos, isterinya, dan Speaker Parlimen Filipina, jika beliau dibunuh.

“Saya sudah bercakap dengan seseorang. Saya sudah arahkan, sekiranya saya dibunuh, pergi bunuh BBM (Marcos), (isteri Marcos) Liza Araneta dan (Speaker) Martin Romualdez. Tiada jenaka. Tiada gurauan.

“Saya berkata, jangan berhenti sehingga kamu membunuh mereka dan kemudian dia berkata ya,” kata Sara dalam satu taklimat yang sarat dengan kata-kata kesat terhadap Marcos Jr.

Beliau berkata demikian membalas suatu komen dalam talian menggesanya menjaga keselamatan ketika berada di ‘wilayah musuh’ apabila hadir di Dewan Kongres bersama ketua kakitangannya.

Pasukan Keselamatan Presiden berkata pihaknya sudah meningkatkan dan memperkukuh protokol keselamatan.

“Kami juga berkoordinasi rapat dengan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mengesan, menghalang serta mempertahankan semua ancaman kepada presiden dan keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Polis, Rommel Francisco Marbil berkata, beliau sudah mengarahkan penyiasatan segera, sambil menambah sebarang ancaman langsung atau tidak langsung terhadap nyawa presiden mesti ditangani dengan tahap paling mendesak.

Pejabat Komunikasi Presiden pula berkata sebarang ancaman terhadap nyawa presiden mesti sentiasa dipandang serius.

Dalam pada itu, Sara memberitahu pemberita pada petang Sabtu bahawa beliau turut menerima ancaman sama.

“Berfikir dan bercakap mengenainya adalah berbeza daripada benar-benar melakukannya. Sekiranya saya yang dibunuh, maka akan ada siasatan ke atas kematian saya dan seterusnya siasatan mengenai kematian mereka (Marcos Jr, Araneta dan Romualdez) akan dilakukan,” katanya.

Anak perempuan kepada bekas presiden Filipina, Rodrigo Duterte, sebelum ini meletak jawatan daripada Kabinet Marcos Jr pada Jun, namun kekal sebagai Naib Presiden.

Luahan kemarahan Sara kali ini adalah yang terbaharu dalam siri pertelingkahan yang mengejutkan puncak kepemimpinan politik Filipina. Pada Oktober, dia juga menuduh Marcos tidak cekap dalam pentadbirannya.

Ia menandakan kejatuhan pakatan politik kukuh yang membantu beliau dan Marcos Jr, nama yang diambil sempena bapanya, pemimpin autoritarian yang telah meninggal dunia, untuk memastikan kemenangan mereka pada 2022 dengan majoriti besar.

Speaker Romualdez, sepupu kepada Marcos Jr pula menimbulkan kemarahan Sara dengan mengurangkan bajet pejabat timbalan presiden hampir dua pertiga.

Kedua-dua keluarga itu berselisih dalam isu termasuk dasar luar dan perang habis-habisan bekas Presiden, Rodrigo Duterte terhadap dadah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini